Aktiviti Hujung Minggu Timbalan Presiden PBATM

AKTIVITI HUJUNG MINGGU TIMBALAN PRESIDEN PBATM

26 Julai 2026 (Ahad)

Timbalan Presiden Persatuan Bekas Anggota Telekom Malaysia (PBATM) merangkap Pengerusi PBATM Pahang Barat telah menghadiri Majlis Perkahwinan anakanda Bendahari PBATM Pahang Barat, Haji Immerus bin Mahmud .

Kehadiran ke majlis tersebut bukan sahaja memenuhi jemputan, malah menjadi medan untuk mengeratkan semula silaturahim dalam kalangan pesara Telekom Malaysia dan ahli-ahli PBATM. Antara yang sempat ditemui ialah:

  1. Dato' Wan Danial bin Wan Ibrahim – Mantan Pengurus Besar TM Negeri Pahang.
  2. En. Zulfikli bin Harun – Mantan Pengurus TM Point Pahang.
  3. Haji Hanafiah bin Shamsuddin – Mantan Pengurus CNO Pahang.
  4. Sdr. Kamarolzaman b. Sahabuddin Timbalan Pengerusi PBATM Pahang Barat
  5. Sdr. Rosdi b. Idris - Setiusaha PBATM Pahang Barat
  6. Ahli-ahli Jawatankuasa PBATM Pahang Barat, Ahli PBTM serta rakan-rakan pesara Telekom Malaysia dari sekitar Temerloh.

Walaupun pertemuan berlangsung dalam suasana yang singkat, ia penuh dengan kemesraan apabila masing-masing berpeluang bertanya khabar, berkongsi perkembangan semasa serta mengukuhkan lagi hubungan persaudaraan yang telah lama terjalin.

27 Julai 2026 (Isnin)

Pada keesokan harinya, Dato' Wan Danial bin Wan Ibrahim bersama Datin telah meluangkan masa menziarahi dua orang ahli PBATM yang kurang sihat, iaitu:

  1. Haji Rahim bin Itam Saidin.
  2. Saudara Ahmad Zubir bin Omar.

Sebagai tanda keprihatinan, Dato' dan Datin telah membeli sendiri barangan keperluan dapur untuk disampaikan kepada mereka. Di samping itu, sumbangan kewangan turut dihulurkan sebagai tanda ingatan dan sokongan kepada mereka.

Bagi pihak PBATM Pahang Barat, saya selaku Timbalan Presiden PBATM merangkap Pengerusi PBATM Pahang Barat merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Dato' Wan Danial b. Wan Ibrahim dan Datin atas keprihatinan serta kesungguhan mereka dalam menyantuni ahli-ahli PBATM yang memerlukan. Semoga segala jasa dan sumbangan yang diberikan mendapat ganjaran yang berlipat ganda daripada Allah SWT.

Ucapan penghargaan turut ditujukan kepada Haji Immerus bin Mahmud sekeluarga atas jemputan ke Majlis Perkahwinan anakanda beliau. Semoga pasangan pengantin dikurniakan kebahagiaan, keberkatan dan kehidupan rumah tangga yang berkekalan hingga ke akhir hayat.

Harapan

Semoga semangat ukhuwah, kebersamaan dan budaya saling prihatin yang ditunjukkan oleh semua ahli akan terus diperkukuhkan. Diharapkan seluruh warga PBATM Pahang Barat sentiasa bersatu hati, saling membantu, menjaga kebajikan sesama ahli serta terus berganding bahu dalam menjayakan setiap program persatuan demi mewujudkan sebuah organisasi yang kukuh, harmoni dan sejahtera.