Majlis Semarak Kasih Aidilfitri PBATM Pahang 2025

23 April 2025 — Majlis Semarak Kasih Aidilfitri PBATM Pahang 2025 telah berlangsung dengan penuh kemeriahan bertempat di Dewan Sireh Pinang, Temerloh. Majlis yang bermula seawal jam 9.30 pagi ini menghimpunkan ahli-ahli Persatuan Bekas Anggota Telekom Malaysia (PBATM) dari seluruh negeri.

Majlis dimulakan dengan ucapan aluan ringkas oleh Dato Zulfikri Hashim, Pengerusi PBATM Pahang Timur, diikuti dengan ucapan perasmian oleh Dato' Haji Wan Daniel Wan Ibrahim (Mantan Pengurus Besar TM Pahang) yang menyampaikan penghargaan atas komitmen berterusan PBATM dalam mengeratkan silaturahim dalam kalangan ahlinya.

Acara diteruskan dengan slot perkongsian ilmu oleh Dr. Haji Abdullah Ismail, yang menyentuh aspek ukhuwah sebagaimana yang diterapkan dalam PBATM. Beliau turut memberikan pengisian rohani mengenai impak bulan Ramadan terhadap pembentukan peribadi insan, serta menyeru agar semangat Ramadan terus dikekalkan sepanjang tahun.

Dalam ucapannya, beliau turut mengambil kesempatan untuk berkongsi kejayaan Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah (MTTJ), Taman Temerloh Jaya yang kini dikenali sebagai antara masjid paling aktif dan cemerlang bukan sahaja di negeri Pahang, malah turut mencetuskan inspirasi di peringkat kebangsaan. Kejayaan ini, menurut beliau, adalah hasil sokongan padu ahli kariah dan pelaksanaan program pengimarahan yang tersusun dan berstrategi.

Majlis turut diserikan dengan sambutan hari lahir tiga orang ahli yang menyambut ulang tahun kelahiran pada bulan ini. Upacara memotong kek dijalankan sebagai simbolik penghargaan dan semangat kekeluargaan yang erat dalam persatuan.

Dalam suasana gembira, PBATM tidak melupakan aspek tanggungjawab sosial apabila turut menghulurkan sumbangan kepada ahli yang kurang bernasib baik, mencerminkan keprihatinan dan kasih sayang sesama ahli.

Para tetamu dan ahli yang hadir turut dijamu dengan hidangan istimewa, memperlihatkan budaya mesra dan hospitaliti yang menjadi teras kepada PBATM. Sebelum majlis melabuhkan tirainya, satu mesyuarat khas telah diadakan bagi membincangkan hala tuju dan aktiviti masa depan persatuan.

Sementara itu, pengelola majlis, En. Mazlan Hanfiah, yang juga, Pengerusi PBATM Pahang Barat, merangkap Ahli Majlis PBATM Pusat  merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua ahli yang hadir serta semua pihak yang telah bersama-sama menjayakan majlis ini dengan penuh semangat dan dedikasi.